Pesanan terakhir untuk anak-anak “pertama” ku
Hari ini berjalan seperti biasa..aku bertolak dari rumah 10 minit awal dari biasa iaitu 6.20am dengan meredah hujan lebat disubuh hari..namun perasaanku hari ini sgt berbeza kerana hari ini adalah hari terakhir aku menjadi guru di SMK Datuk Menteri. Datang ke sekolah hari ini dengan penuh emosi. Emosi yang bercampur antara gembira dan sedih. Gembira kerana aku telah berjaya naik satu anak tangga dan sedih kerana terpaksa meninggalkan pelajar-pelajar aku yang telah aku didik selama ini. Terasa masa begitu singkat dengan mereka. Masih banyak benda yang belum aku selesaikan dengan mereka dan hari ini aku perlu meninggalkan mereka disini. Perjuangan mereka perlu mereka teruskan. Begitu juga dengan diri aku sendiri. Kita masing2 ada perjuangan yang perlu ditunaikan. Itu sebenarnya telah menjadi tanggungjawab kita.
Kamu semua selaku pelajar perlu berusaha bersungguh2 mencari sebanyak mana ilmu pengetahuan untuk diri sendiri dan generasi akan datang. Didik diri kalian dengan ilmu yang ada. Perbaiki diri sendiri dan diri orang lain selari dengan ilmu yang diperolehi. Jangan pandang ke belakang lagi. Gerak maju mara terus ke hadapan. Kita sudah tidak punyai masa sekarang. Berusaha untuk berjaya di dunia dan akhirat adalah impian kita bersama. Jadilah seorang pelajar yang berwawasan. Pelajar yang mempunyai harapan untuk masa depan. Jangan lalai lagi wahai sekelian pelajarku. Kejayaan adalah impian kita semua. Tanpa usaha mustahil ia bersama kita. Usaha yang berterusan di samping doa yang berpanjangan serta tawakal insyaAllah kejayaan adalah milik kalian.
Tiada kejayaan semudah A,B,C…tiada jalan pintas untuk mencapai cita2.. Menyesallah sekarang kerana kesilapan hari ini…jangan menyesal dikemudian hari. Biar hari ini kita menyedari kita silap, dari kita sedar setelah tua menjelma. Semua itu hanya sia2 kerana kita tidak mampu mengembalikan masa. Masa yang lalu akan terus berlalu menjadi memori kenangan hidup kita. Biar memori kita dipenuhi dengan kejayaan dan kenangan yang boleh menjadi contoh kepada anak cucu kita nanti. Jangan jadi manusia yang nanti akan malu pada diri sendiri dan anak cucu kerana masa muda kita tidak ada satu pun cerita gemilang yang boleh dijadikan teladan.
Sayangi sekolah kita dan berbanggalah dengannya. Di sini kita kenal diri. Di sini kita kenal rakan. Di sini kita kenal erti kasih sayang antara manusia dan di sini juga kita mengenal dan mendapat banyak ilmu. Pertemuan dan perpisahan satu perkara mutlak yang perlu ditempuhi oleh kita manusia. Perpisahan bukan bererti putusnya silaturrahim. Perpisahan memberi kita nikmat dan pengajaran betapa nikmat dan besarnya erti pertemuan dan persahabatan.Tanpa perpisahan kadangkala kita lupa diri…yang mana kita dihargai dan perlu menghargai. Dengan perpisahan inilah mengajar kita akan bernilainya pertemuan ini walaupun hanya sekadar 14 minggu ( 3 bulan ). Pertemuan yang sangat bermakna bagi cikgu…kerana Allah telah menganugerahkan anak-anak "segera" yang nakal, rajin dan bersemangat untuk belajar. Teruskan semangat kalian. Gilap dan silaukan semangat itu agar tidak pudar dan malap!!
Pelajar-pelajarku yang dikasihi. Kelak kalian berjaya jangan lupa datang jumpa cikgu..Datang membawa berita gembira yang kalian telah berjaya dan membuktikan yang cabaran telah berjaya dicapai. Datang untuk menidakkan bahawa sangkaan dan herdikan cikgu selama ini sama sekali tidak berasas. Kamu datang dengan berita gembira yang menunjukkan kamu telah berjaya menjadi "manusia" dan berupaya menjadi pencorak generasi "manusia" berikutnya. Cikgu sedikitpun tidak mengaharapkan hadiah besar,mahal lagi berjenama dari kamu semua…cikgu hanya minta kalian untuk berkongsi cerita kejayaan kamu selaku anak-anak "pertama" cikgu untuk dihebahkan bahawa cikgu juga ada anak-anak yang berjaya.
Pelajar-pelajarku yang dikasihi…Setelah kita berada di atas jangan lupa pandang ke bawah. Kita asalnya dari bawah, jangan jadi manusia yang sombong dan bongkak dengan ilmu dan kejayaan yang dimiliki .Ilmu dan kejayaan bukan menjadikan kita bongkak tapi untuk mendidik jiwa dan hati bahawa keberkatan dan kelebihan ilmu itu adalah nilai yang tidak ternilai sebenarnya. Buat semua anak-anak “pertama” cikgu...Kalian pelajar terbaik pernah saya miliki dan kenali. Kalian banyak mengajar saya erti pengorbanan dan kesungguhan dalam menjadi seorang pendidik dan penjaga. Terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Kenakalan dan kemesraan kalian yang banyak membantu mengubat kesedihan dan perasaan cikgu telah membuatkan kita berada sangat "friendly" dalam semua hal..dan dengan itu juga membuat hati ini berat untuk menyatakan “selamat tinggal untuk kalian”. Lepas ni sunyi la sikit kelas kan sbb cikgu dh xde nk marah2 or denda awk semua sbb bising n malas wat kje sekolah lagi..^_^...
Akhir kalam untuk semua. Maafkan diri ini atas segala kesalahan dan kekasaran bahasa yang disengajakan atau tidak sengaja. Walau dimana kita berada kita masih bersaudara dan matlamat kita tetap sama. Untuk pelajar-pelajar cikgu..cikgu sharel sayang kamu semua!!!
Wassalam
Chareltzsensei..
07.00 am
26 Ogos 2011 ( Jumaat )
Bilik Guru Ting. 6
SMK Datuk Menteri